Dec 10, 2025 - FASSelangor FC akan menerima kunjungan Lion City Sailors FC bagi perlawanan keenam Kumpulan G saingan ACLTWO 2025/26 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya hari ini pada jam 8:15 malam.
Dalam edisi kedua penyertaan Gergasi Merah, pasukan telah diundi dalam Kumpulan G bersama Bangkok United FC, Lion City Sailors FC dan Persib Bandung.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel, menyatakan beliau masih mahu dapatkan kemenangan biarpun ini perlawanan terakhir pasukan dalam saingan ACLTWO 2025/26.
“Bagi saya, sama ada ini perlawanan terakhir atau tidak, kemenangan tetap menjadi keutamaan dan tiga mata adalah sangat penting. Saya juga akan menilai beberapa pemain, terutamanya pemain muda serta mereka yang baru pulih daripada kecederaan. Mereka akan diberikan minit permainan kerana ini adalah sebahagian daripada proses pembangunan mereka. Dalam masa yang sama, kita juga perlu bermain dengan bijak dan mengelakkan sebarang perkara yang boleh menjejaskan konsistensi pasukan. Kita perlu membuat percaturan yang terbaik untuk keadaan pasukan sekarang kerana saya turut melepaskan beberapa pemain bagi tugasan kebangsaan. Bagi saya, keluarga dahulu, kemudian negara. Dengan skuad yang ada sekarang, kami tetap akan berikan yang terbaik,” jelas beliau.
“Berkenaan kecederaan, beberapa pemain import masih belum pulih sepenuhnya untuk perlawanan malam ini. Walau bagaimanapun, Mamadou Diarra dan Fazly Mazlan kini kembali bersama pasukan selepas penggantungan. Beberapa pemain muda juga mungkin akan disenaraikan. Jika mereka melakukan kesilapan, itu adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Kita semua tidak sama seperti ketika berumur 18 tahun. Jadi, saya percayakan mereka dan kita akan memperbaiki setiap kekurangan bersama-sama,” tambahnya lagi
Dari segi ketersediaan pemain, tiga pemain masih tidak dapat diturunkan: Sharul Nazeem yang mengalami kecederaan ACL, Kevin Deeromram dengan kecederaan pinggul, dan Zach Clough yang mengalami kecederaan otot pinggul. Sementara itu, Zikri Khalili telah kembali menjalani aktiviti sepenuhnya bersama pasukan, manakala Fazly Mazlan dan Mamadou Diarra kembali beraksi selepas penggantungan. Para pemain Gergasi Merah yang akan turun malam ini bersedia memberikan aksi terbaik dalam perlawanan terakhir Kumpulan G ACLTWO 2025/26.
Pihak pengurusan Selangor FC yakin pasukan akan terus memberikan segala-galanya malam ini. Ayuh, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!